Friday 13 April 2012

KUASAI FUNGSI SEBELUM BERGAYA






PERSEPSI dahulu bahawa fungsi sebuah kamera hanya untuk mengambil gambar ketika acara istimewa, sudah tidak boleh diguna pakai lagi. Ia selari dengan perkembangan kecanggihan alat elektronik itu.
Semakin hebat ciptaan sesebuah kamera, semakin mudah tugas merakam detik-detik manis. Ia bukan lagi tanggungjawab jurugambar profesional tetapi, sesiapa sahaja yang berkemampuan mampu memiliki kamera.
Tarikan utama sudah pasti ditumpukan kepada pelbagai model kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) yang amat digilai anak muda. Di mana-mana sahaja kita dapat melihat gelagat kumpulan remaja menggantung DSLR di leher mereka.
Adakah mereka benar-benar mengetahui fungsi sebenar DSLR atau sekadar mahu dipandang bergaya?
Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 21, menyifatkan fenomena tersebut sebagai satu perkembangan normal namun, menasihatkan anak muda hari ini agar tahu menggunakan sepenuhnya fungsi alatan elektronik mereka.
“Tidak dinafikan trend sebegini telah dilihat sebagai sebahagian gaya peribadi. Aksesori elektronik seperti DSLR mampu menyuntik elemen cool kepada seorang lelaki, membuatkan kelibat mereka mudah mencuri tumpuan ramai.

ALIF AZIZ tidak menafikan, gabungan aksesori elektronik berjenama mampu menyuntik elemen cool pada seorang jejaka.


“Tetapi, alat elektronik bukan untuk bergaya sahaja dan setiap individu yang membuat keputusan membelinya, wajar menguasai setiap fungsi alat tersebut. Jika tidak, ia ibarat berbelanja untuk bermegah tanpa kepentingan terperinci yang amat sia-sia,” jelas Aliff Aziz yang kini taksub pada telefon pintar Samsung Galaxy Note miliknya.
Aura Beats
Selain DSLR, fon kepala (headphone) juga bukan aksesori elektronik baharu yang menjadi peneman gaya kaum Adam. Jika kita menaiki kenderaan awam seperti tren transit aliran ringan (LRT) dan bas, kebanyakan lelaki muda lebih gemar melayan kebosanan dengan mendengar muzik.
Apa yang menangkap perhatian sekeliling ialah fon kepala yang digunakan. Saiz dan warna fon kepala itu pula disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing.
Hari ini, fon kepala yang paling ketara mempengaruhi gaya lelaki adalah siri Monster Beats by Dr. Dre.
“Saya amat tertarik dengan fon kepala tersebut. Ia sangat menarik dan paling penting kualiti audio yang kita dengar amat jelas tanpa gangguan bunyi persekitaran,” ujar Aliff Aziz yang sedang berkira-kira untuk membeli fon kepala yang disediakan dalam enam warna yang berbeza itu.
Evolusi fon kepala juga mengalami garis masa yang menarik. Suatu ketika, orang ramai lebih menggemari fon kepala yang lebih kecil kerana ia mudah dibawa dan tidak terlalu menonjol.
Sedikit menghairankan apabila golongan jejaka kembali memilih fon kepala bersaiz besar dan meletakkan yang kecil sebagai pilihan kedua. Aura yang ditonjolkan fon kepala Beats ternyata menghidupkan imej lelaki kontemporari yang tidak tercicir mengikut arus kemodenan.
Menyusuri siar kaki di mana-mana pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, pandangan anda tidak akan lengkap jika tidak terlihat segelintir remaja yang menghiasi kepala mereka dengan aksesori elektronik tersebut.
Berbeza pula dengan seorang lagi penyanyi tempatan, Alif Satar, 22, yang tidak cenderung memakai fon kepala ketika waktu santai terutama ke tempat tumpuan awam.
“Saya akui, ia merupakan antara aksesori yang mengagumkan dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada fesyen. Tetapi, saya menggunakan fon kepala ketika bersukan sahaja.
“Penggunaan aksesori sebegini perlu mengikut kehendak seseorang. Ada yang suka memakainya tidak kira ke mana sahaja mereka pergi dan ada juga yang memilih waktu bersesuaian.
SAMSUNG Galaxy Tab sering menjadi teman Alif Satar saat berjalan-jalan di luar.


“Ia bergantung pada tujuan masing-masing dan bagi saya, penting untuk mendengar muzik menggunakan fon kepala ketika menjalani latihan di gimnasium dan menunggang motosikal,” jelas Alif Satar yang kini sedang hangat dengan single keduanya berjudul Abdul.
Kepentingan atau keperluan
Kehendak memiliki pelbagai aksesori elektronik mungkin sedikit disalah erti kebanyakan lelaki. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak memahami perbezaan antara kepentingan dan keperluan.
Tambah Alif Satar, aksesori elektronik bukan digunakan untuk menunjuk-nunjuk sahaja namun, ia perlu dinilai mengikut spesifikasi keseluruhan alat tersebut.
“Setiap perkara perlu ada had. Begitu juga dengan aksesori elektronik. Ramai remaja menghabiskan duit mereka membeli barangan ini sebab mahu nampak bergaya seperti orang lain.
“Kebanyakan mereka tidak tahu tujuan sebenar dan hal ini membuatkan tanggapan sekeliling berubah pasif kepada barangan itu sendiri sedangkan pada asalnya, ia dicipta atas tujuan perkembangan teknologi,” ujarnya yang mengakui sukar untuk hidup tanpa telefon pintar BlackBerry.
Sementara itu, Aliff Aziz juga mengingatkan anak-anak muda agar bijak berbelanja apabila melibatkan aksesori elektronik.
“Pilih alat elektronik yang dapat memaksimumkan penggunaan anda. Untuk mereka yang suka bergaya dengan alat elektronik, buat pertimbangan pembelian dengan melihat warna dan reka bentuk yang ditawarkan,” tambah Aliff Aziz lagi yang telah melancarkan album baharunya penghujung Mac lalu

No comments:

Post a Comment